Ibu bapa memainkan peranan yang penting dalam memupuk budaya membaca 
dalam diri anak-anak.
Huraikan pendapat anda tentang pernyataan di 
atas.
Peribahasa bagaimana acuan begitulah kuihnya memberikan 
bukti yang jelas akan peranan utama ibu bapa dalam aspek pembacaan anak-anak. 
Ibu bapa menjadi tunggak atau pendorong utama dalam memupuk sikap membaca 
generasi muda kita kelak. Maka, pelbagai peranan yang mampu dilaksanakan oleh 
ibu bapa dalam menyelesaikan isu ini.
Ibu bapa perlulah menunjukkan 
contoh yang baik kepada anak-anak dalam aspek ini. Mereka perlulah sendiri 
mengamalkan sikap membaca dengan jelas seperti membaca semua bahan-bahan penting 
seperti akhbar atau bersama-sama membaca bersama anak mereka. Contoh yang 
diberikan oleh ibu bapa ini sudah pasti akan tertanam dalam dalam sanubari 
anak-anak mereka lalu menjadi satu tabiat positif pula.
Malah, ibu bapa 
boleh membelikan bahan-bahan bacaan yang bersesuaian dengan peringkat umur anak 
mereka. Bahan bacaan ini tidak semestinya merupakan bahan bacaan sekolah sahaja 
tetapi mungkin bacaan umum. Kepelbagaian bahan bacaan ini mampu memberikan satu 
dimensi pengetahuan yang unik kepada anak selain memupuk sikap membaca 
mereka.
Malahan, satu sudut khas untuk menyimpan buku atau ruang membaca 
harus disediakan di rumah oleh ibu bapa. Ruang atau bilik ini perlulah 
dilengkapi dengan pelbagai jenis buku dan kerusi serta meja untuk menjadikan 
suasana membaca lebih selesa. Bilik ini boleh menjadi tempat anak-anak 
menghabiskan masa lapang mereka dengan begitu berfaedah.
Tambahan pula, 
ibu bapa boleh menggalakkan anak-anak mereka menyimpan wang untuk membeli buku. 
Setiap hujung bulan ibu bapa boleh membawa anak ke kedai buku dan membenarkan 
mereka membeli buku-buku yang mereka suka. Mungkin juga ibu bapa boleh memberi 
sedikit bantuan kewangan jika harga buku yang dibeli oleh anak itu melebihi 
daripada wang yang mereka kumpul sebelum ini sebagai tanda menghargai sikap 
membaca mereka itu.
Kesimpulannya, amalan membaca membolehkan pelbagai 
jenis ilmu diperoleh oleh generasi muda kita. Peranan dan sikap ibu bapa amat 
penting dalam memupuk sikap membaca ini kerana merekalah yang menjadi teladan 
kepada anak-anak. Sikap membaca yang tinggi juga mampu menjadikan warga 
masyarakat kita satu kelompok masyarakat yang berilmu tinggi kelak.



0 评论:
发表评论