Ibu bapa memainkan peranan penting untuk memupuk minat anak-anak supaya gemar 
membaca. Berikan pendapat anda
Anak-anak dalam zaman ini tidak 
suka membaca.  Mereka lebih suka menghabiskan masa lapang mereka dengan 
melepak di kompleks beli-belah atau menonton televisyen daripada membaca bahan 
bacaan yang berguna. Jika tidak membaca, mereka akan kekurangan ilmu 
pengetahuan atau tidak mengetahui perubahan yang berlaku di sekeliling mereka. 
Oleh itu,  ibu bapa perlu memainkan peranan untuk memupuk minat membaca 
dalam kalangan anak mereka.
Satu daripada peranan ibu bapa ialah ibu 
bapa hendaklah menyemaikan tabiat suka membaca dalam kalangan anak mereka.
Tabiat ini harus ditanamkan sejak kecil lagi bak kata pepatah, "kalau hendak 
melentur buluh biarlah dari rebungnya". Dalam hal ini, ibu bapa perlu 
menyediakan bahan bacaan untuk anak-anak. Sebagai contohnya, ibu bapa 
hendaklah mewujudkan perpustakaan mini di rumah untuk menggalakkan anak-anak 
membaca. Apabila anak selalu membaca, mereka akan menjadi seronok lalu 
menjadikan amalan membaca sebagai hobi kerana alah bisa tegal dek 
biasa.
Selain itu, ibu bapa sendiri juga harus menanamkan sikap suka 
membaca kepada diri sendiri sebagai teladan kepada anak-anak. Apabila 
melihat ibu bapa membaca, anak-anak juga akan terpengaruh untuk mengikut jejak 
langkah ibu bapa mereka yang suka membaca.  Misalnya, ibu bapa yang tidak 
suka membaca dan hanya menggalakkan anak-anak mereka membaca dianggap bagai 
ketam mengajar anaknya berjalan betul. Oleh yang demikian, ibu bapa 
mestilah menjadi contoh kepada anak-anak dengan menjadikan amalan membaca 
sebagai hobi kerana bagaimana acuan begitulah kuihnya.
Di samping itu,
ibu bapa juga hendaklah sering membawa anak-anak ke perpustakaan atau ke
kedai-kedai buku. Apabila mereka berada di perpustakaan atau di kedai buku, 
mereka berpeluang untuk memilih buku-buku yang diminati untuk dibeli atau 
dibaca. Melalui cara ini, ibu bapa dapat menyuburkan minat membaca 
dalam kalangan anak mereka.
Bukan itu sahaja, ibu bapa juga
hendaklah menggalakkan anak-anak untuk membaca buku dengan cara mendaftar anak 
mereka menyertai kelab buku. Melalui penyertaan dalam kelab buku, anak-anak 
akan menyertai pelbagai aktiviti dan mengetahui perkembangan buku yang terkini. 
Sebagai contohnya, anak-anak boleh menjadi ahli Kelab Buku Ilmiah yang 
ditubuhkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka. Apabila anak-anak menjadi ahli 
kelab buku, mereka didedahkan dengan pelbagai perkara yang berkaitan dengan buku 
dan mereka tidaklah menjadi seperti katak di bawah 
tempurung.
Kesimpulannya, ibu bapa harus sedar akan peri 
mustahaknya membaca kerana para pujangga sering mengingatkan pembaca bahawa 
membaca jambatan ilmu. Ibu bapa harus menanamkan sikap suka membaca 
dalam kalangan anak mereka kerana membaca akan menjadikan minda anak-anak mereka 
cerdas. Oleh hal yang demikian,  ibu bapa mestilah menjadi pendorong 
untuk menyemaikan minat membaca dalam kalangan anak mereka.  Jika 
anak-anak sudah jatuh cinta dengan aktiviti membaca, kejayaan dalam bidang 
pelajaran akan terbentang luas di depan mereka pada masa depan. Sebagai 
contohnya, ibu bapa hendaklah membawa anak-anak seminggu atau dua minggu sekali 
ke kedai buku atau ke perpustakaan.



0 评论:
发表评论